Kamis, 13 Februari 2014

Browse » home» » » » » » » » Syed Ali Kit Siang hanya main wayang

Syed Ali Kit Siang hanya main wayang

Syed Ali Alhabshee

SHAH ALAM – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang menafikan dakwaan melibatkan Pengerusi parti itu, Karpal Singh berhubung cadangan membatalkan pendaftaran Pas itu disifatkan sebagai main wayang.

Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, penafian itu dibuat setelah kenyataan Karpal mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk rakan karibnya, Pas.

“Kit Siang cuba bermain wayang setelah cadangan tidak masuk akal Karpal disifatkan banyak pihak sebagai tidak relevan dan usaha menghapuskan identiti Melayu dan umat Islam," katanya yang dipetik dari blognya, hari ini.

Syed Ali melihat cadangan Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor sebagai pancing DAP untuk melihat sejauh mana reaksi dan penerimaan masyarakat berhubung perkara tersebut.

Beliau turut mencabar Pas supaya segera meninggalkan PR jika benar bahawa parti itu masih mempunyai prinsip dan maruah selaku parti yang memperjuangkan kepentingan umat Islam.

"Jika pemimpin Pas masih juga seperti tunggul kayu, samalah mereka dengan Kit Siang dan Karpal yang bermain wayang.

"Saya cabar Pas supaya tinggalkan DAP dan PKR jika mereka benar-benar sayangkan kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini," katanya.

Sebelum ini, beberapa pimpinan Pas tampil membidas kenyataan Karpal yang mencadangkan parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Turut terbuka membidas, Pemuda Pas Selangor yang mendesak agar Karpal menarik balik kenyataan yang disifatkan biadab itu.

Sementara itu, Karpal dalam satu kenyataan hari ini, menafikan beliau mencadangkan pendaftaran Pas dibatalkan.

"Saya tidak meminta pembatalan pendaftaran Pas.Ya, saya telah menyatakan bahawa parti-parti politik berasaskan kaum dan badan-badan profesional perlu membuka ruang kepada kaum-kaum lain termasuk Pas.

"Bagaimanapun, saya turut mengakui keperluan Pas dalam masyarakat berbilang kaum yang turut mempunyai sayap penyokong bukan Islam," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar